Menurut Laporan Prestasi Pelaburan Malaysia 2018, aktiviti tersebut termasuk reka bentuk litar bersepadu (IC), reka bentuk pembungkusan IC, reka bentuk sistem terbenam dan perkhidmatan reka bentuk kejuruteraan serta pengujian bagi kluster E&E di samping ekosistem rantaian bekalan berkaitannya.

MIDA dalam kenyataannya berkata, ia merangkumi aktiviti dalam semikonduktor, khidmat pembuatan elektronik, elektronik sistem industri, penstoran, diod pemancar cahaya (LED), solar, robotik automasi, fotonik optik, Objek Rangkaian Internet (sebagai asas Industri 4.0) serta perkhidmatan perkongsian.

“Industri E&E merekodkan pelaburan bernilai RM11.2 bilion atau 12.8 peratus pada tahun lalu daripada pelaburan keseluruhan negara.

“Sektor E&E amat memberangsangkan dengan dominasi pelaburan asing (RM10.7 bilion atau 95.8 peratus daripada pelaburan keseluruhan) dalam industri kebanyakannya dari Belanda, Jepun dan China,” katanya di sini hari ini.

Tambah MIDA, Daripada 56 projek yang diluluskan tahun lepas kebanyakannya adalah projek peluasan dan kepelbagaian, dengan pelaburan bernilai RM10.3 bilion manakala 17 lagi merupakan projek baharu dengan pelaburan RM918.2 juta.

Jelasnya, prestasi itu adalah petunjuk jelas bahawa perbelanjaan modal purata bagi setiap projek meningkat lebih sekali ganda pada 2018 berbanding 109 projek yang dibawa masuk dengan nilai RM9.7 bilion pada tahun sebelumnya.

“Subsektor komponen elektronik setakat ini menjadi sebahagian besar pelaburan dalam industri E&E apabila membentuk 84.4 peratus daripada pelaburan keseluruhan. Sebanyak 18 projek diluluskan pada 2018 dengan membawa masuk pelaburan bernilai RM9.4 bilion sekali gus ia adalah pertumbuhan mengagumkan dengan lebih 200 peratus berbanding pada 2017.

“Projek yang diluluskan terdiri daripada pembuatan komponen elektronik termasuk pembungkusan IC yang lebih moden, LED, peranti semikonduktor mikro pengawal dan pemasangan papan litar tercetak. Hampir kesemua pelaburan dalam subsektor ini merupakan pelaburan langsung asing yang membentuk 99 peratus daripada pelaburan keseluruhan,” ujarnya.

HABIS...