Menu istimewa yang direka sendiri oleh pemilik kedai, Fadzil Md. Najmi, 43, sememangnya menjadi pilihan ramai kerana kelazatan ramuan dan rasanya yang menyelerakan pada harga RM18.

Menurut Fadzil atau lebih dikenali sebagai Baba, terdapat beberapa lagi hidangan istimewa ditawarkan iaitu nasi ayam Baba yang dijual pada harga RM6, mi Bodo-Bodo (RM8) dan mi bandung RM10.

"Bagi memastikan kepuasan pelanggan, kami menyajikan saiz hidangan yang berbaloi dan boleh dimakan untuk dua orang selain harganya berpautan.

"Semua resepi adalah hasil ciptaan saya sendiri dan saya sentiasa berusaha meningkatkan kesedapan makanan yang dijual," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kedai Nasi Ayam Baba Corner dan Sup Gearbox yang terletak di Pusat Perniagaan Rumah Kedai PKNS itu beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 7 petang setiap Isnin hingga Sabtu.

Menurut Baba, pelanggannya meningkat saban hari apabila berpindah dari lokasi sebelum ini di Arked Mara Bandar Baru Serting yang beroperasi sejak tahun 2010.

"Walaupun baru dibuka di tempat ini tahun lepas, namun pelanggan tetap mencari kedai saya dan saya menghargai sokongan mereka," ujarnya yang berpengalaman dalam bidang masakan selama 22 tahun.

Kedai tersebut menjadi pilihan terutamanya kakitangan kerajaan dan penduduk setempat untuk bersarapan pagi dan makan tengah hari.

Menurut Baba, nama kedainya diambil sempena gelaran yang diberikan oleh guru kepadanya ketika dia belajar di Sekolah Kebangsaan Sungai Sampo pada tahun 1986.

"Ketika itu, sitkom 'Santan Berlada' popular di kaca televisyen dan salah satu wataknya bernama 'Baba'. Seorang guru mengatakan perwatakan saya hampir sama dengan watak tersebut dan nama itu melekat sehingga kini," katanya. - UTUSAN ONLINE