Menterinya, Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, banyak kawasan di Wilayah Persekutuan tidak dibangunkan semula ‘bertukar’ menjadi sarang dadah dan maksiat.

Beliau berkata, perkara tersebut sebenarnya telah dimaklumkan oleh masyarakat malah turut diajukan kepada wakil rakyat di kawasan berkenaan.

“Pihak kami telah membuat pemantauan dan berniat untuk melakukan pembersihan bagi tempat berkenaan namun menjadi kekangan apabila ada pihak yang tidak bersetuju.

“Bagaimanapun, tindakan tetap akan diambil di beberapa kawasan dan kebanyakannya di rumah yang sepatutnya dibuat kedai. Paling menyedihkan apabila kediaman itu juga turut di­sewa kepada warga asing seperti di Kampung Segambut Dalam,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Galeri Jualan M Centura, di sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan memberitahu, penolakan pesta arak Better Beer Festival 2017 di ibu negara adalah demi menjaga kepentingan dan kehormatan masyarakat terutamanya yang beragama islam.

“Pihaknya tidak mempunyai masalah sekiranya penganjur ingin mengadakan pesta tersebut tetapi dengan syarat di tempat yang tertutup. Keputusan kementerian adalah tetap.

“Saya tidak kisah kalau hendak buat di negeri lain tetapi bukan di ibu negara dan Putrajaya memandangkan keselamatan masyarakat di sini perlu dijaga serta diambil peduli,” katanya.