Jika dahulu ia hanya me­nerima duit syiling, kini mesin itu turut menawarkan pilihan penggunaan wang kertas dan kad tambah nilai Touch ‘n Go.

Bagaimanapun, pemasangan kiosk itu tidak akan mencapai tujuannya jika tidak di­selenggara dengan baik oleh pihak penyedia.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Bandar Sri Permaisuri Cheras di sini mendapati walaupun terdapat banyak kiosk parkir disediakan di kawasan tempat letak kenderaan, sebahagian daripadanya rosak dan tidak berfungsi dengan baik.

Antara masalah yang kerap berlaku adalah kesukaran untuk menekang butang sehingga perlu menekan dengan kuat atau mengetuk butang berkenaan.

Keadaan itu bukan sahaja menyusahkan pengguna bahkan menyebabkan mereka memilih untuk tidak membayar cas perkhidmatan atau meletakkan kenderaan di tepi jalan.

Pengguna, Hanafi Ibrahim, 47, berkata, mesin tiket yang disediakan di sini seolah-olah hiasan sahaja kerana tidak ramai yang menggunakannya selepas mendapati mesin tersebut kerap kali rosak.

“Mesin yang kerap rosak ini sudah lama menyusahkan pengguna bahkan ramai yang menyangka perkhidmatan itu sudah tidak lagi ‘berjalan’. Sebab itu ramai yang tidak membayarnya.

“Jika mesin rosak, saya memang tidak akan mencari mesin lain sebab hanya ‘parking’ sekejap sahaja untuk menguruskan hal yang tidak memerlukan masa yang lama,” katanya.

Norain Salleh, 25, berkata, dia sering berdepan dengan mesin yang tidak berfungsi dan kerap ‘menelan duit’.

“Bukan hanya sekali saya melalui situasi ini tetapi berkali-kali. Bila tidak bayar nanti akan kena saman.

“Tetapi jika ke­rap rosak dan asyik telan duit, lama-kelamaan tiada siapa yang mahu membayar parkir,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai menggesa pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan sewajarnya kepada syarikat yang melakukan kutipan parkir di kawasan itu.

Salah satu daripadanya adalah dengan mengarahkan syarikat berkenaan membaik pulih dan memantau kemudahan yang disediakan secara berterusan.