Detik bersejarah sebegini tidak dilepaskan warga kota yang rata-rata berkunjung untuk beri penghormatan terakhir kepada 1,001 nostalgia di gedung beli-belah di persimpangan Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak itu sebelum projek Transit Aliran Massa Jajaran Kedua (MRT2) memulakan kerja pengambilalihan.

Bagi pemilik kedai elektronik, Mah Kok L., 57, peniaga terpaksa akur dengan keputusan arahan berpindah keluar selepas kira-kira dua tahun pelbagai usaha mempertahankannya tidak berpihak kepada mereka.

Katanya, sempena hari terakhir­ operasi kesemua barangan jualan akan dijual pada harga runtuh untuk memberi peluang kepada pelanggan setia serta pengunjung agar mereka berasa gembira selain turut membawa pulang nilai sentimental.

“Perniagaan saya selepas ini akan berpindah ke sebuah tapak kiosk yang disewa dalam Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang Park di seberang jalan pada minggu pertama Januari 2018.

“Semua peniaga yang terpaksa berpindah mencari sendiri lokasi baharu untuk meneruskan perniagaan mereka dan kami sebelum ini juga sudah mempunyai cawangan di kompleks Ampang Point di sini,” katanya dalam hiba.

Keadaan agak meriah sempena hari terakhir itu dipenuhi pe­ngunjung yang tidak putus-putus berkunjung mengambil kesempatan un­tuk berbelanja pada harga murah selain merakamkan gambar kenangan di hadapan pintu masuk pusat beli-belah itu.

Sementara itu, pemilik Butik Arianna Rose, Lisa Anoar, 40, berkata, pemindahan ke lokasi baharunya di kompleks komersial di UTM Residensi, Jalan Semarak di sini memerlukannya perbelanjaan hampir RM80,000 termasuk ubah suai.

“Perniagaan hampir lapan tahun di Ampang Park cukup beri pengajaran bermakna dalam menghadapi cabaran jatuh dan bangun menguruskan sesebuah perniagaan malah fasa baharu di lokasi lain kelak sudah kami uar-uarkan kepada semua pelanggan,” katanya.

Bagi pembantu Butik Via Roma, Khairul Anuar, 45, potongan separuh harga dilakukan sempena hari terakhir sebelum berpindah ke butik baharu di pusat beli-belah My Town, Jalan Cochrane di sini bermula pertengahan Januari depan.

“Rata-rata pelanggan setia kami yang datang hari ini berkongsi rasa sedih mereka selain teruja untuk berkunjung ke lokasi baharu butik yang menawarkan gaya busana segar sempena pembukaannya nanti,” kongsinya.