Keadaan pokok berusia puluhan tahun yang menampakkan tanda-tanda uzur itu pasti mengundang bencana kepada pengguna jalan raya sekiranya dibiarkan tanpa pengawasan atau tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa tempatan.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa lokasi antaranya Jalan Ampang, Jalan U-Thant dan Jalan Ara Kiri, Bangsar mendapati, terdapat lebih 50 pokok besar ditemui di sepanjang jalan yang menjadi laluan utama warga kota.

Dikhuatiri, pokok-pokok penghias landskap kota itu bertukar menjadi ancaman kepada orang ramai.

Lebih membimbangkan jika pokok yang nampak kuat dan gah memasak bumi itu sebenar­nya sudah ‘lumpuh’ di bahagian akarnya dan hanya menunggu masa untuk rebah.

Hakikatnya tiada siapa me­­n­ge­-
tahui sejauh mana kekuatan paksinya yang mungkin sudah semakin longgar kerana masalah pereputan yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar.

Pemerhatian juga mendapati walaupun pokok-pokok ber­ke­na­an mengalami gangguan pada bahagian banir akibat permukaan tanah yang dilitupi kon­krit. Keadaan ini pasti menimbulkan tekanan dan menyebabkan kerosakan pada strukturnya.

Sehuhungan itu, untuk memastikan pokok itu tidak tumbang dan masih sihat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mengamalkan budaya penyelenggaraan yang baik selain menjalankan kajian terperinci bersama agensi yang berkaitan yang mempunyai kepakaran tentang pokok.

Bagaimanapun, pokok-pokok besar yang menjadi penghias landskap tidak menjadi isu sekiranya diuruskan dengan baik apa­tah lagi usaha berkenaan menjadi sebahagian daripada ciri-ciri bandar hijau dan mesra alam.