Tidak terkecuali mengikuti perkembangan ini adalah sekumpulan anak muda Melayu berusia antara 21 hingga 26 tahun yang banyak menghabiskan masa bermain sukan bertemakan permainan video atau ‘games’ itu sejak bangku sekolah.

Mereka yang bercita-cita tinggi dalam mengejar impian menjadi pemain e-sukan profesional tersebut kini bergabung tenaga dalam satu pasukan iaitu Lagenda.

Pasukan Lagenda ditubuhkan pada 15 Februari lalu dibarisi lima anak muda iaitu Muhammad Ezraf Md. Ramli, 21; Haaziq Azrai Abdul Kadir, 25; Muhammad Fitri Azman, 25; Muhammad Farid Ikmal Noor Bahari, 26 dan Hafizul Asyraf, 21.

Di dalam gelanggang permainan, mereka lebih dikenali sebagai Yap yang bertindak selaku pemain ‘support’, Zico (offlaner), Hikaru (midlaner), Joyy (support) dan Zai (carry).

Pengarah pasukan, Mohd. Hafis Khairulah berkata, penubuhan pasukan itu antara lain bertujuan mengetengahkan bakat dan kemahiran yang dimiliki mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

“Bakat anak-anak muda ini wajar diketengahkan kerana tidak ramai dalam kalangan anak Melayu tempatan yang bersaing di peringkat nasional dan dunia meskipun mereka antara kelompok teramai bermain sukan Dota 2.

“Mereka mempunyai semangat dan keazaman yang kuat untuk bersaing dengan mana-mana kumpulan profesional di negara ini malah bercita-cita tinggi untuk menjulang nama di persada antarabangsa.

“Oleh itu, impian dan cita-cita ini perlu diraikan bersama. Saya percaya bahawa bakat tempatan boleh pergi lebih jauh dan diiktiraf di peringkat global,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, pemilihan nama pasukan Lagenda itu itu menggambarkan harapan dan hasrat pihaknya untuk melahirkan beberapa jaguh sukan elektronik dalam negara.

“Oleh sebab itulah kita menamakan pasukan ini sebagai Lagenda dengan harapan pada satu masa nanti akan lahir jaguh-jaguh sukan elektronik ternama. Ini sekali gus bertepatan dengan moto ‘Di mana legenda dilahirkan’,” katanya.

Katanya lagi, pasukan Lagenda yang bernaung di bawah syarikat UI E sport Sdn. Bhd. juga mempunyai visi untuk mengangkat industri sukan elektronik yang semakin terkenal dalam kalangan remaja di seluruh pelusuk dunia.

“Kami mempunyai visi yang jelas untuk menjadi sebuah syarikat sukan elektronik terunggul yang dapat berkembang dan menjadi antara kuasa utama dalam menyerlahkan industri ini di peringkat global.

“Dengan kata lain, kami beraspirasi untuk menjadi salah satu dari pelopor bidang e-sukan di Malaysia dan membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan, Mohd. Fhadzren Benhar berkata, ahli pasukan tersebut akan menjalani sesi latihan selama enam hingga lapan jam sehari.

“Kita akan latih mereka berdasarkan strategi yang dibina dan menghayati semangat berkumpulan.

“Ini memandangkan permainan ini lebih berpaksikan kepada susunan strategi yang berkesan selain aspek komunikasi yang menjadi elemen terpenting dan penentu kepada kejayaan sesebuah permainan,” katanya.

Tambah Mohd. Fhadzren, bukan itu sahaja, aktiviti ahli kumpulan itu juga tidak terhenti di hadapan komputer di dalam bilik berhawa dingin yang beku.

“Mereka turut mengadakan aktiviti di luar kawasan seperti jogging, bermain badminton dan futsal pada setiap minggu. Ini bagi menguatkan mental dan fizikal sewaktu berdepan dengan mana-mana kejohanan sukan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, pengarah operasi pasukan, Ahmad Hisyam Amran mengakui bahawa terdapat kelemahan berbuhung aspek kewangan kumpulan itu menyebabkan penyertaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi sedikit terbantut.

Menurutnya, ini disebabkan oleh faktor bantuan daripada pihak luar terutama badan-badan korporat, syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan yang kurang tampil ke depan untuk menaja pasukan berkenaan.

“Oleh sebab itu kami mengalu-alukan sumbangan daripada pemain industri yang ingin menaja pasukan Lagenda dan bersama-sama dalam perjalanan kami membina nama di peringkat dunia,” katanya.

Pasukan Lagenda meskipun baharu ditubuhkan, ia telah mencipta beberapa siri kejayaan antaranya tempat kedua dalam pertandingan Dota 2 Kampus Festival 2017 dan tempat ketiga sesi kelayakan Hot Shotz Asia 2017.

Kejayaan menduduki tempat ketiga pada sesi kelayakan itu membolehkan mereka mendapat tempat dalam acara utama Hot Shotz Asia 2017 yang akan berlangsung di KDU Glenmarie, Shah Alam pada 22 Julai 2017.

Dengan komitmen, harapan dan iltizam yang padu, pasukan Lagenda percaya bahawa e-sukan akan mendapat tempat di hati peminat sukan di Malaysia sama seperti sukan bola sepak yang memang dikenali sebagai sukan nombor satu.

Menurut artikel daripada laman sesawang Newzoo.com, Asia Tenggara adalah antara benua yang paling cepat berkembang dari segi peningkatan peminat e-sukan dan pada 2016 sahaja, peminat e-sukan di Malaysia mencecah 1.8 juta orang.

Sementara di Asia Tenggara jumlah peminat e-sukan berjumlah 9.5 juta orang dan dijangka meningkat dua kali ganda pada 2019. - UTUSAN ONLINE