Sudah tentu antara yang menjadi pilihan ketika ini adalah baju raya, samping, songkok serta kuih dan biskut raya untuk dihidangkan kepada tetamu semasa hari raya nanti.

Tinjauan Utusan Malaysia di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Bazar Senawang, Negeri Sembilan, Mydin Mall dan MITC Melaka serta Kompleks PKNS, Shah Alam mendapati orang ramai memanfaatkan peluang cuti hujung minggu semalam dan hari ini untuk membuat persiapan terakhir.

Suasana sesak dapat dilihat apabila sebahagian besar pengunjung datang bersama rakan dan ahli keluarga bagi memilih barangan di bazar tersebut.

Malah sebahagian besar mereka mengunjungi bazar pada malam terakhir Ramadan yang disifatkan kemuncak untuk membeli-belah sebelum terbit fajar Syawal .

Di Jalan TAR mendapati laluan utama ke daerah membeli-belah terkenal di sini, mula dipenuhi kenderaan seawal pukul 10 pagi dan terdapat beberapa laluan ditutup serta dilencongkan untuk memudahkan pejalan kaki membeli belah.

Para peniaga di kawasan itu juga tidak menang tangan me-layan pelanggana yang datang sejak dari awal pagi hingga larut malam.

Di Bazar Senawang, beberapa pengunjung yang ditemui memberitahu, mereka gemar mendapatkan barangan pada saat-saat akhir kerana kebanyakannya dijual pada harga murah selain suasana perayaan begitu terasa pada waktu tersebut.

Menurut pengunjung, waktu malam menjadi pilihan untuk mereka membeli keperluan masing-ma­sing di bazar yang dibuka sehingga pukul 4 pagi itu.

Suasana meriah turut dirasai di Mahkota Parade Banda Hilir yang mana orang ramai tidak putus-putus mengunjungi pusat beli-belah itu.

Tidak terkecuali Kompleks PKNS, di Shah Alam kemeriahan membeli-belah di saat akhir juga lebih dirasai apabila penjual mula menurunkan harga berbanding ketika di awal Ramadan lalu.