Wartawan Utusan Malaysia, ABD. HALIM HADI menemubual Ketua Pegawai Eksekutif Mediu, PROF. EMERITUS DR. ISMAWI ZEN untuk mendapatkan perspektif ‘baharu’ universiti yang sebelum ini pernah terpalit dengan beberapa isu dan tohmahan sebagai satu lagi
institusi pendidikan Islam untuk generasi muda negara ini.


Ceritakan latar belakang penubuhan universiti ini.

Dr. ISMAWI ZEN: Mediu memulakan operasi di negara ini pada penghujung tahun 2005 sebagai sebuah universiti pelopor dalam pengajian Islam bertaraf antarabangsa yang menyediakan kemudahan pembelajaran kondusif untuk menarik minat pelajar dari seluruh dunia. Kira-kira dua tahun kemudian, Mediu mendapat akreditasi penuh dan berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selepas mematuhi segala syarat yang ditetapkan sebagai sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang sah.

Sebagai sebuah universiti berkonsep wakaf, penubuhan awal Mediu lebih dikenali sebagai universiti yang menyediakan pengajian jarak jauh dengan memberi tumpuan terhadap pendidikan secara dalam talian sebelum memulakan pengajian dalam kampus pada 2010.

Pada 11 Januari 2010, Mediu dianugerahkan status Koridor Raya Multimedia (MSC) oleh kerajaan Malaysia berdasarkan kelebihan serta kemudahan teknologi informasi dan komunikasi maklumat (ICT) yang disediakan. Sebanyak 81 kursus pengajian yang ditawarkan telah mendapat akreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Secara keseluruhan, Mediu kini mempunyai 4,151 pelajar yang terdiri daripada 3,85 pelajar jarak jauh atau dalam talian dan 966 pelajar dalam kampus.

Apakah jurusan dan peringkat pengajian yang ditawarkan?

Pengajian di Mediu bermula daripada peringkat Diploma sehingga Ijazah Doktor Falsafah (PhD) melalui 123 program akademik yang mana 81 daripadanya telah memperoleh akraditasi penuh daripada MQA. Bidang pengajian adalah Fakulti Sains Islam iaitu sebanyak 62 program, Fakulti Komputer dan Teknologi Maklumat (13 program); Fakulti Bahasa (12 program); Fakulti Pendidikan (9 program); Fakulti Kewangan dan Sains Pengurusan (18 program); Fakulti Kejuruteraan (4 program) dan Pusat Bahasa (3 program). Pada ketika ini, Mediu mempunyai 3,185 pelajar dalam talian dan 966 pelajar dalam kampus. Kemasukan pelajar dibuka setiap tahun dan bagi pengambilan September ini, pihak Mediu telah membuka pendaftaran dan menyasarkan kemasukan lebih seribu pelajar.

Apakah keistimewaan Mediu berbanding IPT Islam yang lain?

Fokus utama Mediu dalam program pengajiannya adalah untuk memartabatkan pendidikan berlandaskan Islam yang berteras kepada ajaran Islam dan menjadikan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantar utama universiti ini. Usaha ini diharap dapat menjadikan Bahasa Al-quran itu sebagai bahasa ilmu dan mengembalikan kepentingannya sebagai bahasa ilmu di zaman keagungan Islam. Selain menyediakan kemudahan yang serba kondusif kepada pelajar dalam kampus dan jarak jauh, kekuatan Mediu terletak pada barisan tenaga pengajar antarabangsa yang terkemuka dan dikenali di peringkat global, khususnya dalam dunia pengajian Islam.

Dari segi kemudahan, Mediu merupakan antara IPT yang menawarkan yuran pendidikan pada harga yang berpatutan dan antara yang terendah di pasaran iaitu kira-kira RM21,000 hingga RM29,000.

Pada April lalu Mediu telah berpindah ke kampus baharu di Seri Petaling, apakah kemudahan yang tersedia di kampus baharu ini?

Perpindahan Mediu daripada Plaza Masalam di Shah Alam, Selangor ke Desa Petaling pada April lalu merupakan usaha institusi pengajian ini mengembangkan operasinya selepas sedekad bertapak di negara ini. Kampus baharu yang melibatkan kos pe­ngubahsuaian mencecah RM6.5 juta ini memiliki 10 blok bangunan tiga tingkat yang menempatkan kemudahan untuk semua fakulti.

Fasiliti ini menempatkan ba­ngunan pentadbiran, pusat pelajar, dewan periksaan, medan selera, surau, gimnasium, tempat letak kenderaan dan pelbagai kemudahan tele-persidangan untuk tujuan pembelajaran jarak jauh.

Namun dalam usaha mengejar piawaian sebagai universiti antarabangsa, kami berhasrat untuk memiliki kampus beraset tetap di Cyberjaya pada masa akan datang yang dapat menampung seramai 30,000 para pelajar menjelang 2025. Cita-cita kami ini adalah usaha berterusan yang diharap dapat direa­lisasi melalui pendidikan komprehensif yang ditawarkan.

Sebelum ini wujud dakwaan yang mengaitkan universiti ini dengan fahaman wahabi dan kewujudan silibus radikal serta ekstrimis. Sejauh mana kebenaran mengenainya?

Universiti ini telah menerima fitnah yang besar pada 2016 sehingga terpaksa digantung operasi selama beberapa tahun apabila dituduh menjadi pusat pengajian Wahabi. Dakwaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja menyebabkan operasi Mediu digantung bahkan menjejaskan kemasukan dana yang diterima daripada beberapa negara Islam dan lebih mendukacitakan kemelut itu menyebabkan ramai pelajar yang menjadi mangsa.

Sepanjang tempoh pengantungan itu, sebanyak 3,018 permohonan kemasukan pelajar dalam kampus tergendala dan terpaksa ditolak. Selain itu, sijil para gra­duan yang telah ditauliahkan juga tidak diiktiraf malah ada dalam kalangan ibu bapa yang bertindak mengeluarkan anak-anak mereka daripada universiti ini kerana bimbang dipengaruh Wahabi sedangkan perkara itu sama sekali tidak benar. Selama tempoh dua tahun lebih itu juga kami tidak dibenarkan untuk mengambil pelajar antarabangsa.

Bagaimana universiti ini bebas daripada tuduhan itu?

Selepas beberapa pertemuan dan siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa, Mediu diisytiharkan bebas daripada tuduhan sebagai pusat penyebaran Wahabi. Pengesahan bebas dakwaan ekstremisme itu dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) selepas siasatan terperinci dilakukan. Pe­nyiasatan terperinci yang dilakukan itu melibatkan sebarang kemungkinan dan kaitan yang boleh menjurus kepada kegiatan radikal dan ekstrimis di dalam silibus pengajian dan aktiviti ka­kitangan di Mediu.

Pengesahan rasmi daripada badan kerajaan itu sekaligus membenarkan Mediu beroperasi semula sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi. Selain itu, keputusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga diperolehi yang membenarnya semula universiti ini mengambil pelajar-pelajar antarabangsa. Begitu juga dengan penarafan layak memohon jawatan kerajaan yang dikembalikan semula seperti mana tertera pada laman web Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Apakah sumbangan universiti ini terhadap pembangunan masyarakat?

Salah satu visi Mediu adalah untuk merealisasikan cita-cita kerajaan ‘Mengantarabangsakan Pengajian Tinggi’ selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah pusat kecemerlangan

pengajian tinggi terkemuka di dunia. Bersandarkan pengalaman saya sebagai Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), saya akan cuba untuk menjadikan universiti ini sebagai pusat pengajian Islam yang berwibawa di negara ini. Selain itu, sebagai universiti bertaraf wakaf, universiti ini akan mengekalkan objektif sebagai pusat pendidikan demi kebaikan masyarakat bukannya untuk menjana keuntungan semata-mata.

Dalam usaha itu, kami melihat pelbagai usaha boleh dilakukan antaranya dalam mencari penyelesaian isu-isu pendidikan negara dengan menawarkan kerjasama dan peluang pendidikan kepada golongan yang memerlukan misalnya memudahkan pelajar tahfiz melanjutkan pengajian dan me­laksanakan program pemulihan akhlak. Melalui pendekatan itu, kami harap kewujudan Mediau dapat mencapai objektifnya sebagai wadah pendidikan ummah.