Mayat wanita berusia 30-an itu ditemukan apabila pekerja hotel tersebut menghubungi pihak polis memandangkan pelanggan tersebut sepatutnya keluar dari bilik berkenaan pada pukul 12 tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pekerja hotel itu kira-kira pukul 2 petang sebelum sepasukan polis tiba di lokasi kejadian bagi memeriksa bilik tersebut.

“Sebaik sahaja membuka pintu biliknya, kita mendapati mangsa dalam keadaan berlumuran darah di katil.

“Mangsa juga tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan wanita itu mengalami kecederaan akibat tetakan di bahagian kepalanya,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Dzaffir memaklumkan, buat masa ini pihaknya masih lagi menjalankan siasatan berhubung kes tersebut dengan mengambil keterangan daripada beberapa saksi.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang dekat sini untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian serta identitinya.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE