Timbalan Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Noredah Othman berkata 'Cuti-Cuti Tawau' akan diperkenalkan untuk memberi penekanan kepada pelancongan di Pantai Timur Sabah dengan sasaran empat juta pelancong tempatan dan antarabangsa.

"Pantai Timur Sabah terutama bandar-bandar Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Sandakan memiliki banyak tarikan pelancongan berasaskan alam semula jadi selain warisan sejarahnya.

"Juga terdapat sebuah pulau di Lahad Datu yang sedang dipromosikan sebagai titik paling Timur di Malaysia, di mana orang ramai boleh melihat matahari terbit kali pertama di Malaysia di sana," katanya pada sidang media di ibu pejabat Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di sini hari ini.

Lebih 16 gerai akan dibuka STB untuk mempromosikan pelbagai produk pelancongan tempatan untuk dinikmati pelancong termasuk warisan dan budaya, pulau-pulau dengan pemandangan cantik, aktiviti-aktiviti selam skuba, rintis hutan, mengamati burung, kembara dan pelbagai tarikan lain yang amat berbaloi.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat MATTA Nigel Wong berkata peningkatan jumlah pelancong ke Sabah adalah antara bukti negeri itu antara destinasi pilihan utama pelancongan di Malaysia dan sangat dikenali di pasaran antarabangsa.- BERNAMA