Perhimpunan lebih 200 masyarakat Bugis itu diadakan selama lebih setengah jam dengan peserta-peserta perhimpunan membawa sepanduk tertulis ‘Kami bukan lanun’ dan ‘Mahathir berasal dari mana’ serta melaungkan kenyataan ‘Kami bukan lanun’.

Timbalan Presiden Persatuan Perpaduan Rumpun Bugis Melayu Malaysia, Tasman Matto berkata, mewakili lebih 70,000 ahli persatuan tersebut seluruh negara, beliau mendesak Dr. Mahathir menarik semula kenyataannya itu sebelum pihaknya menganjurkan perhimpunan bantahan yang lebih besar pada masa akan datang.

“Kita juga akan membuat laporan polis di seluruh negara kalau Dr. Mahathir enggan menarik balik kenyataan itu kerana ia ternyata telah mengguris perasaan masyarakat Bugis di negara ini yang merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat di Malaysia sejak sekian lama.

“Kenyataan berbaur perkauman ini tidak boleh keluar dari mulut seorang yang dikatakan sebagai negarawan. Kita masyarakat Bugis akan pastikan bahawa kita tidak akan menyokong pihak beliau kelak,” katanya kepada pemberita selepas peehimpunan tersebut.

Dr. Mahathir dalam Himpunan Anti-Kleptokrasi di Selangor sebelum ini menyebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mungkin berasal dari lanun Bugis yang sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke Bugis. - UTUSAN ONLINE