Menurut beliau, ini akan menjadikan masjid lebih dihormati sekali gus memperkasakan institusi tersebut di mata masyarakat.

“Masjid mesti menjadi institusi yang mendahului di peringkat kawasan, kalau ada pelajar miskin atau orang susah, masjid perlu bantu.

“Kalau tidak ada duit masjid, itu bukan masalah kerana boleh minta pada Baitulmal dan kita bekerjasama. Ini kerana pihak masjid lebih tahu siapa yang miskin atau susah di kariah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran Program Negeri Sembilan Beriktikaf di Wisma Negeri di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Johani Hassan: Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Datuk Selamat Paigo dan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Pkhairuddin Ghazali.

Sebanyak 35 buah sekolah dan 38 masjid di seluruh negeri ini akan menyertai program yang dianjurkan buat kali kesembilan itu.

Dalam pada itu, Mohamad turut meminta pihak pengurusan masjid supaya merancang aktiviti yang dapat membangunkan masyarakat dan memberi manfaat kepada ahli kariah.

Ujarnya, ada sesetengah masjid di negeri ini yang mempunyai kutipan yang besar sehingga mencecah RM1 juta namun tidak memanfaatkannya dan masih meminta sumbangan daripada kerajaan negeri untuk kerja baik pulih.

“Kita tidak mahu masjid besar dan duit banyak dalam akaun tetapi tidak buat apa-apa aktiviti. Saya pernah singgah di sebuah masjid tetapi berkunci dan banyak habuk. Maknanya itulah wajah masjid yang tidak dikunjungi dan sunyi sepi,” katanya - UTUSAN ONLINE