Kejadian yang berlaku pada pukul 5 petang itu menyebabkan loji rawatan air di Ijok, Selangor itu dihentikan tugas serta merta dan menjejaskan bekalan air di Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Langat.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Mohd. Ridhuan Ismail berkata, lanjutan kerja-kerja pemulihan loji SSP3 menyebabkan 563,662 pemilik akaun Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (SYABAS) terjejas.

“Ekoran kejadian itu, LRA SSP3 yang berkapasiti memproses 800 juta liter air sehari (JLH) terpaksa dihenti tugas serta merta.

“Henti tugas ini akan melewatkan pemulihan bekalan air kepada sebanyak 498 kawasan melibatkan 563,662 pemilik akaun Syabas,’’ katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Dalam kejadian semalam, lima pekerja Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (Splash) cedera ketika sedang melakukan kerja-kerja pembaikan di loji berkenaan.

Menurutnya, bekalan air dijangka pulih hanya setelah kerja-kerja pembaikan yang dilakukan oleh Splash siap sepenuhnya namun tidak dinyatakan bila.

“SPAN telah meminta Splash melaksanakan kerja pembaikan secara berterusan sehingga siap dan kembali beroperasi. Hanya setelah kerja pembaikan siap dilaksanakan, LRA SSP3 boleh beroperasi dan air boleh dibekalkan secara berperingkat,’’ katanya.

Sehubungan itu kata Mohd Ridhuan, Syabas mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan dan membuka Bilik Gerakan untuk memantau keadaan dan menguruskan penghantaran lori tangki ke kawasan-kawasan yang terjejas.

“Pada masa ini Syabas menyediakan 79 lori tangki air jenis biasa serta 10 lori tangki jenis jumbo bagi tujuan penghantaran bekalan air.

“SPAN juga telah mendapatkan 17 buah lori tangki air daripada syarikat pengendali air di beberapa negeri untuk melicinkan proses menyalurkan bantuan,’’ katanya.

Menurutnya lagi, orang ramai boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) SYABAS di talian 15300 untuk mendapatkan bantuan bekalan air dan melayari laman web www.syabas.com.my untuk mengikuti perkembangan semasa gangguan bekalan air ini. -UTUSAN ONLINE.