Wangan yang membawa maksud ‘berlumba di tengah malam’ menjadi inti pati utama dalam filem arahan Pekin Ibrahim ini dan khabarnya, filem KL Wangan ini adalah satu percubaan berani Pekin dalam menghasilkan naskah bergenre aksi.

KL Wangan
Rudi (Faizal Hussein) memandang ke arah lawannya, Ejay (Pekin Ibrahim) yang membantu Hong (Kazuto Soon)
meneruskan perlumbaan mereka

Dalam KL Wangan, Pekin memegang watak seorang pemuda bernama Ejay dan dia terperangkap dalam perhitungan peribadi di antara Rudi (Faizal Hussein) dan Hong (Kazuto Soon).

Ketika ditanya mengenai watak Rudi, Pekin memberitahu dalam fikirannya pelakon yang sewajarnya memegang watak tersebut haruslah memiliki karisma yang tersendiri.

“Ada dua nama yang berlegar-legar dalam fikiran saya pada mulanya namun akhirnya, Faizal Hussein menjadi individu yang berjaya dipotretkan untuk watak tersebut.

“Ditambah pula watak Rudi dijelmakan sebagai seseorang yang memiliki aura yang tersendiri, maka tidak salah untuk saya memilih Faizal Hussein sebagai penerajunya,” katanya kepada pemberita baru-baru ini selepas tayangan perdana filem tersebut diadakan di GSC Pavillion, Kuala Lumpur.

Apa itu KL Wangan?

KL Wangan adalah sebuah filem aksi kereta arahan Pekin Ibrahim. KL Wangan mengisahkan tentang aktiviti perlumbaan kereta kerana wangan itu sendiri membawa maksud ‘berlumba kereta pada waktu malam’.

Sehubungan itu apabila Pekin memasukkan perkataan Kuala Lumpur (KL) ke dalam tajuk filemnya, sudah pasti ia menceritakan perihal manusia yang berlumba pada malam hari di kawasan Kuala Lumpur dengan alasan mereka yang tersendiri.

KL WANGAN
 

Jika dikaji mengenai jalan cerita KL Wangan secara keseluruhan, ternyata Pekin masih belum ‘mahu berhenti’ kerana wujud banyak persoalan yang belum tersingkap secara keseluruhan.

Menurut pendapat unit Terjah Filem Utusan Online, pasti Pekin suatu masa nanti akan tampil dengan prekuel atau sekuel KL Wangan dengan aksi yang lebih padat.

Apa yang Pekin Ibrahim mahu tonjolkan?

Pekin cuba mengambil pendekatan yang berbeza dalam penghasilan naskahnya yang kedua ini selepas filem Mat Moto ditayangkan tahun lalu.

Walaupun KL Wangan secara keseluruhannya menceritakan tentang permainan kereta menyusuri liku-liku jalan yang dirempuhinya, Pekin amat menitik beratkan soal visual persediaan sebelum perlumbaan berlaku.

KL Wangan

Ejay (lakonan Pekin Ibrahim) bertemu Rudi (lakonan Faizal Hussein) untuk mengatur satu perlumbaan

Oleh itu, penonton akan disajikan dengan keghairahan Rudi (Faizal Hussein) dan Hong (Kazuto Soon) bersama pasukan masing-masing mempersiapkan kereta yang akan dibawa ke jalanan.

Menariknya bagi bukan ‘kaki kereta’, mereka akan belajar sesuatu tentang terma-terma yang diguna pakai untuk kenderaan atau nama-nama spesifik bagi jenis enjin yang dipilih.

Pengalaman Faizal Hussein dalam KL Wangan?

Menurut Pekin Ibrahim dalam sidang media selepas tayangan perdana KL Wangan di GSC Pavillion, Kuala Lumpur baru-baru ini, sewaktu dia menulis tentang watak Rudi, dia cuma terbayangkan dua individu.

Individu yang pertama adalah Rosyam Noor dan yang kedua adalah Faizal Hussein sendiri. Namun demikian setelah Pekin mendalami naskahnya, dia melihat antara orang berkarisma yang sesuai memegang watak tersebut adalah Faizal Hussein.

KL WANGAN
FAIZAL HUSSEIN dipilih memegang watak Rudi

Faizal Hussein pula akhirnya bersetuju menerima watak tersebut dan menjayakan dengan teknik lakonannya yang tersendiri selepas mendapat persetujuan daripada Pekin.

Justeru, banyak aksi yang dilakonkannya sendiri dan Faizal berharap watak yang dibawakan itu akan dijadikan penilaian agar masyarakat tidak terjebak dalam masalah moral.

Ini filem pertama lakonan Kazuto Soon

Sewaktu unit Terjah Filem Utusan Online mendekati Kazuto Soon, dia mengakui bahawa pada mulanya dia agak sukar untuk menjayakan watak Hong kerana Hong diciptakan sebagai seseorang yang sangat beremosi.

Lebih-lebih lagi dia bukan sahaja mengalami konflik dengan anak perempuannya malah masih bersimpati atas nasib isterinya yang mati dibunuh oleh musuhnya yang tidak diketahui.

KL Wangan

Dalam KL Wangan, Rudi dan Hong diceritakan memulakan perlumbaan mereka
dengan menggunakan kereta kancil sewaktu usia muda

Namun begitu, usaha Pekin yang tidak henti mengajarnya mendatang usaha kepada Kazuto sehingga dia boleh membawa watak seperti yang diinginkan naskah.

Katanya, dia yang selama ini hanya popular dikenali dalam sukan permotoran berharap orang ramai boleh menerimanya beraksi dalam dunia lakonan pula.

Mengapa KL Wangan berbaloi ditonton?

Pada awal babak pembukaan cerita sahaja pun sudah boleh mendebarkan para penonton. Tambah-tambah lagi apabila munculnya pelakon aksi Indonesia, Donny Alamsyah yang tampil membantu Ejay (Pekin Ibrahim).

Babak pergaduhan yang dipaparkan adalah berdasarkan perancangan koreografer dan mereka semua harus menjalani latihan demi latihan sebelum menjayakan babak yang sebenar.

Selain itu, KL Wangan telah membelanjakan hampir RM5 juta semata-mata mahu menunjukkan keseriusan mereka dalam menghasilkan filem ini sekali gus cuba memuaskan hati penonton dari pelbagai aspek.

Reviu filem oleh Akyem Samad
Unit Terjah Filem Utusan Online