Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, Eropah adalah be­nua yang sesuai buat skuad wa­nita meraih perlawanan pendedahan bagi menghadapi Liga Hoki Dunia yang sangat kompetitif.

“Saya tahu gergasi hoki wanita sebahagiannya datang dari Asia tetapi saya nampak apabila kita bermain menentang pasukan Eropah, jurang fizikal adalah faktor paling ketara.

“Saya percaya adalah penting untuk kita menghantar pasukan wanita bermain lebih banyak di Eropah atau menjemput pa­sukan Eropah bermain di sini,” katanya kepada selepas tamat aksi perlawanan akhir Liga Hoki Dunia Pusingan Kedua (WHLR2) di Stadium Tun Razak, semalam.

Malaysia mempamer kecemerlangan apabila meraih tempat kedua pada WHLR2 selepas tewas 0-3 kepada pasukan No. 16 dunia, Ireland dalam perlawanan akhir tersebut.

Sementara itu, biarpun gagal menamatkan kempen WHLR2 selaku juara, namun kejayaan mengejutkan pasukan No. 15 dunia, Itali telah membuka mata banyak pihak terhadap keupayaan Malaysia.

Kapten skuad hoki wanita Itali, Chiara Tiddi berkata, dia tidak menjangka Malaysia ­Tigress, yang sekadar menghuni ranking ke-21 mampu menewaskan pasukannya.

Malah katanya, jika diberi peluang, Itali bersemangat untuk mengadakan pertemuan ulangan dengan pasukan negara.

“Saya percaya, pasukan Malaysia boleh meningkat lagi kerana mereka menunjukkan permainan yang bagus terutama ketika bertahan.

“Kami memiliki penjaga gol terbaik, pakar pukulan sudut penalti yang bagus namun gagal untuk mendapatkan kemena­ngan ke atas Malaysia.

“Sekiranya kami diundi berada dalam kumpulan yang sama pada Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, Jun ini kami pasti akan memberikan cabaran lebih hebat kepada mereka,” kata Tiddi kepada pemberita selepas aksi penentuan tempat ketiga WHLR2, semalam.

Itali menamatkan kempen WHLR2 di tempat ketiga selepas menewaskan Wales 3-1.