Kafe yang berkonsepkan makanan di dalam mangkuk ini adalah merupakan cetusan idea pemiliknya, Zurlaikha Zainuddin, 34, yang sememangnya mendapat sambutan kerana harga yang mampu milik.

Menurut Zurlaikha, terdapat beberapa hidangan yang dijual dengan harga RM1.90 semangkuk antaranya, samyang ramen, nasi lemak, nasi jawa, mi sup, dumpling, wantan dan banyak lagi.

"Kita juga menawarkan makanan "full plate" dengan harga serendah RM3.50 hingga RM9. Harga ini sangat berbaloi dan memberi kepuasan kepada pelanggan.

"Di kafe ini, pelanggan boleh makan bermangkuk-mangkuk tanpa segan silu kerana kami sangat mengutamakan kualiti masakan di sini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Kafe ini juga digelar 'The Hidden Cafe' kerana lokasi yang agak tersorok di tingkat dua bangunan lot kedai.

"Kalau tak betul-betul cari memang tak jumpa. Tapi sebelum menjadi kafe, lokasi ini adalah sebuah butik dan telah dikenali.

“Bermula Disember, kita mempelbagaikan lagi konsep kedai kepada kafe dengan menambah kerusi dan meja," katanya.

Selain menu dalam mangkuk terdapat juga menu lain sebagai pilihan antaranya nasi, mi dan juga makanan pencuci mulut serta minuman.

Bagi yang ingin menikmati makan secara santai, kafe ini dibuka setiap hari Isnin hingga Sabtu bermula pukul 10 pagi hingga 7 malam. - UTUSAN ONLINE