Pameran tersebut mengumpul lebih 100 karya majalah itu daripada 500 karya yang meraikan pelbagai kisah sejarah warna-warni Malaysia yang jarang disaksikan atau difahami di persekitaran budaya kontemporari.

Presiden Kelab Kartunis Malaysia, Mohd. Desa Omar atau Juragan berkata, pameran yang berlangsung sejak Disember lalu itu memberi kefahaman mendalam tentang gaya pemikiran kreatif pengkarya kartunis tersebut selain wadah yang berkesan untuk penceritaan.

“Paling menakjubkan, komik Gila-Gila berjaya memberi impak besar yang mencorak kehidupan ramai orang. Bahkan, ia pernah muncul sebagai majalah terbanyak dibaca dibandingkan semua majalah yang diterbitkan di Malaysia.

“Kita berharap generasi muda hari ini dapat menghargai dan meneladani bakat kreatif pengkaryaan komik seperti yang pernah dinukilkan oleh barisan kartunis tersohor dan berbakat ini,” katanya ketika ditemui Utusan Online di sini hari ini.

Tambah Mohd Desa, ketika ini lebih 50,000 pengunjung telah mengunjungi pameran itu dan dijangka sasaran untuk menerima 100,000 pelawat hingga April ini akan tercapai.

Mohd. Desa memberitahu, RKMM bercadang mengadakan jelajah pameran kartun sebegini di jabatan-jabatan muzium negeri tidak lama lagi.

“Kita harap dapat bekerjasama dengan jabatan muzium negeri agar memberi kefahaman dan peluang kepada merekanyang tidak berkesempatan untuk ke sini,” katanya.

Sementara itu, pengasas majalah Gila-Gila, Jaafar Taib berkata, pameran sebegitu sangat baik kerana memberi peluang generasi muda mengenali tentang sejarah komik kartun di negara ini.

“Sama seperti majalah kartun, akan berubah mengikut media. Generasi sekarang tidak gemar lagi akan helaian kertas. Mereka lebih gemarkan karya elektronik seperti animasi atau permainan digital,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE