Ketua Pengawai Eksekutif MAIWP, Datuk Paimuzi Yahya berkata, langkah itu diambil sebagai melaksanakan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung peruntukkan tambahan yang diperlukan bagi meningkatkan kemudahan di pusat berkenaan.

“MAIWP telah berbincang dengan pusat berkenaan untuk me­ngetahui keperluan bagi tambahan RM3 juta itu. Alhamdulillah kami sudah dapat maklumat yang diperlukan.

“Kami akan bermesyuarat untuk meluluskan peruntukan tambahan itu dan akan menyalurkannya selepas mesyuarat selesai,” katanya ketika ditemui dalam program Kembara Zakat Wilayah Persekutuan 2018 di sini baru-baru ini.

Program julung kali dianjurkan itu dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Najib ketika sesi lawatan ke Pusat Pembedahan Katarak Pada 9 Februari lalu dan mengarahkan MAIWP memberikan peruntukkan tambahan dalam usaha membantu golongan memerlukan.

Mengenai Kembara Zakat Wi­layah Persekutuan 2018 pula, Paimuzi berkata, ia merupakan usaha berterusan pihaknya untuk terus melaksanakan amanah pengagihan zakat kepada golongan memerlukan.

Katanya, kembara itu bergerak ke lima lokasi Parlimen di ibu negara iaitu Wangsa Maju, Setiawangsa, Titiwangsa dan Bandar Tun Razak sebelum berakhir di Lembah Pantai.

“Pada program itu, MAIWP menyampaikan peruntukan bagi tahun 2018 untuk beberapa ka­tegori bantuan zakat Baitulmal iaitu bantuan kewangan bulanan sebanyak RM86.86 juta, bantuan perubatan (RM23.84 juta) dan bantuan pendidikan (RM86.94 juta),” katanya.

Konvoi Kembara Zakat Wilayah Persekutuan yang dilepaskan Tengku Adnan itu disertai kenderaan penerima bantuan zakat Baitulmal MAIWP iaitu Skim Bantuan Deposit Sewa Beli Teksi diiringi motosikal berkuasa tinggi daripada Kelab MAIWP Bikers.