Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, pihaknya berminat terhadap tanah yang sesuai untuk projek-projek khusus dan bersedia bagi pembangunan serta-merta.

Katanya, sejak beberapa tahun lalu, projek Mah Sing berfokuskan kepada seni halus dan strategi kumpulan untuk menyediakan rumah dengan ciri-ciri mewah pada kadar yang berpatutan berjalan lancar.

Jelas beliau, ia seterusnya membolehkan kami mencatatkan jualan melebihi paras berbilion ringgit selama sembilan tahun berturut-turut.

“Selain lokasi dan harga, tanah-tanah yang dicari perlu menawarkan terma pembayaran yang baik kerana kami perlu memastikan projek-projek baharu sesuai dengan mo­del perniagaan kami.

“Kami adalah rakan kerjasama perniagaan yang baik dan bersedia untuk bekerjasama dengan pemilik tanah yang mencari penyelesaian menang-menang,” katanya dalam ke­nyataan di sini hari ini.

Mah Sing buat masa ini, memiliki tanah seluas 851 hektar menghasilkan nilai pembangunan kasar dan jualan belum dibilkan dianggarkan RM25.7 bilion.

Mah Sing menyasarkan untuk melancarkan projek hartanah bernilai RM2.2 bilion dengan memberi tumpuan kepada rumah mampu milik di lokasi strategik.

Antara projek yang akan dilancarkan pada 2019 ialah M Vertica, Cheras Tower 3 & 4 dan M Arisa, Sentul.Kumpulan itu turut menyasarkan jualan sekurang-kurangnya RM1.5 bilion dengan tumpuan kepada rumah mampu milik berharga di bawah RM700,000. - UTUSAN ONLINE