Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan negeri, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar berkata, buku tersebut akan dibekalkan kepada semua hotel yang berdaftar dengan MAH Negeri Sembilan untuk panduan dalam aspek keselamatan kolam renang.

Beliau berkata, pihak Majlis Perbandaran Port Dickson akan memantau hotel yang terlibat agar mereka sentiasa mematuhi SOP yang diperkenalkan oleh persatuan berkenaan.

“Dengan adanya SOP yang pertama kali diperkenalkan di negeri ini, saya harap akan memberi impak besar dalam sektor pelancongan sekali gus menarik kehadiran lebih ramai pelancong.

“Ini kerana ia menitikberatkan kepentingan ilmu menyelamat seterusnya memupuk kesedaran tentang pentingnya mengutamakan keselamatan ketika berada di kolam renang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan SOP Kolam Renang MAH Negeri Sembilan dan penyampaian sijil kepada peserta Latihan Medik, Asas Renang dan Menyelamat Air di Glory Beach Resort di sini baru-baru ini. Yang turut hadir Pengerusi MAH Negeri Sembilan, Haziz Hassan.

Seramai 25 petugas dari 12 hotel di daerah ini dan Seremban menyertai latihan menyelamat oleh tenaga pengajar bertauliah dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri.

Sementara itu, Haziz berkata, latihan selama dua hari itu dapat memupuk pengetahuan dalam membantu dan menyelamat yang merupakan keperluan dalam sektor perhotelan.


“Selepas beberapa kali mengadakan program ini, kita mendapat maklum balas yang sangat baik daripada pelbagai pihak dan berhasrat untuk melebarkannya ke negeri-negeri lain pula,” katanya. - UTUSAN ONLINE