Pengetua maahad berkenaan, Muhammad Sufian Ahmad Shukri berkata, sekiranya pembinaan bangunan tambahan itu berjaya, ia mampu menampung jumlah pelajar tahfiz yang lebih ramai iaitu antara 200 hingga 300 orang.

Menurutnya, ketika ini madrasah tersebut yang mula beroperasi sejak November 2012 mempunyai sebanyak 70 pelajar tahfiz lelaki termasuk enam anak yatim dan ditadbir oleh 10 orang guru termasuk beliau.

"Ketika ini kami mempunyai kemudahan sebuah bangunan dan surau serta merancang membina bangunan dua tingkat bagi menempatkan lebih ramai pelajar termasuk pelajar perempuan.

"Pihak pengurusan merancang membina bangunan baharu dalam masa terdekat, kami ada sedikit dana permulaan dan memerlukan lagi sumbangan orang ramai kerana kos anggaran pembinaan bangunan baharu itu adalah kira-kira RM1.5 juta," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan 70 ahli kelab motosikal berkuasa tinggi 'Dragon Bikers' yang bernaung di bawah Persatuan Superbikers Malaysia (SAM) dalam program Hari Keluarga bersama pelajar tahfiz di madrasah berkenaan, baru-baru ini.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi pembinaan bangunan baharu madrasah tahfiz ini boleh menghubungi Muhammad Sufian di talian 019-6505159 atau menerusi akaun Maybank bernombor 155050327146 atas nama beliau. - UTUSAN ONLINE