Kata-kata itu menjadi pegangan utuh Krishnan dan dia kini memilih untuk setia memperjuangkan pembuatan kraf tangan dari India yang berusia ribuan tahun itu sejak 17 tahun lalu.

Krishnan percaya, sekiranya tradisi tersebut tidak dijaga, ia akan member kesan yang buruk tidak kira kepada mana-mana bangsa.

“Lebih-lebih lagi apabila sesuatu tradisi itu melambangkan identiti kepada sesuatu bangsa, warisannya memang perlu diperlihara,” katanya ketika ditemui Utusan Online, baru-baru ini.

Dengan perubahan pesat teknologi serta cara hidup masyarakat kini, Krishnan melihat banyak perkara yang terjadi bagaikan menghakis sedikit demi sedikit budaya serta amalan yang diwarisi.

“Sudah tidak ramai yang gemar mengangkat budaya masyarakat sendiri berbanding memilih untuk mengikut acuan cara hidup Barat.

“Bagi saya, perkara itu perlu dielakkan dan perubahan cara hidup tidak seharusnya dijadikan alas an untuk menenggelamkan seni, warisan dan tradisi turun-temurun kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE