Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Faizal Othman berkata, loji berkenaan yang mengguna pakai teknologi Reaktor Kelompok Penjujukan (SBR) mampu merawat air sisa daripada kawasan Kajang 2, Kajang 3 Timur dan Seksyen 5, Bandar Baru Bangi.

Katanya, dengan teknologi baharu merawat itu secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti air yang dilepaskan ke Sungai Langat daripada loji selain meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat dengan penutupan loji lama yang sering bermasalah.

“Ini juga sebagai langkah rasionalisasi bagi mengurangkan kos operasi dan penyelenggaraan melalui penutupan 28 loji rawatan kumbahan awam, enam loji di premis kerajaan dan dua loji persendirian,” katanya selepas merasmikan pembukaan semula operasi loji itu di sini hari ini.

Turut berlangsung serentak Hari Terbuka Loji Rawatan Kumbahan Serantau Kajang Utama yang dihadiri kira-kira 800 penduduk setempat bagi mengikuti taklimat dan pameran sistem pembetungan IWK serta bersantai menyertai acara sukaneka dan cabutan bertuah. - UTUSAN ONLINE