Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, semua lif yang melebihi jangka hayat dan kerap mengalami kerosakan teruk akan ditukar baharu.

“Lebih baik kita ganti lif baharu daripada terus menyelenggara kemudahan itu setiap masa. Perkara itu telah dibincangkan bersama DBKL dan akan dima­sukkan dalam bajet 2019.

“Lagipun sudah tiba masanya ia ditukar memandangkan ada lif yang berusia 20 hingga 30 tahun dan banyak menerima aduan kerosakan daripada penduduk,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Terdahulu, Khalid mengadakan sesi perbincangan bersama kontraktor utama penyelenggaraan DBKL yang turut dihadiri oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd. Aziz dan Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Datuk Mohd. Najib Mohd.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Wilayah memberi amaran kepada kontraktor penyelenggaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya tidak terlibat dalam amalan rasuah untuk mendapat projek.

Menurut Khalid, mana-mana kontraktor sedia ada yang didapati bersalah melakukan sogokan akan ditamatkan kontrak serta merta.

“Saya ingin tegaskan bahawa tiada kompromi bagi mereka yang memberi atau menerima sogokan. Lebih baik duit itu digunakan untuk penambahbaikan projek yang diberi oleh kerajaan.

“Hentikan budaya rasuah. Cara kerja baharu ini diharap dapat membersihkan persepsi negatif masyarakat terhadap DBKL,” katanya.