Restoran itu menawarkan lebih 20 sajian istimewa yang pernah dinikmati pelanggan dari 25 negara malah mempunyai beberapa pelanggan setia dari Brunei, Indonesia dan Singapura.

Diusahakan oleh seorang anak muda, Cef Ibrahim Hamzah, 33, Leque atau sebutannya ‘Lekiu’ iaitu salah seorang daripada lima pahlawan silam Melaka memberi peluang kepada penggemar sajian fusion menikmati rasa ekstravaganza dalam setiap suapan.

Bagi Ibrahim, meskipun usia dalam bidang kulinari belum mencecah sedekad, namun dia menanam sikap keikhlasan serta prinsip masakan yang dihidangkan seperti di rumah membuatkan menu disediakan mendapat sambutan daripada pelanggan.

“Pada asalnya Restoran Leque mula dibuka di Jonker Street, Melaka pada 2014 namun terpaksa berpindah ke Gombak, Selangor tahun lalu apabila berhadapan kekangan sewa yang semakin meningkat.

“Apa yang membuatkan saya terharu adalah ada dalam kalangan pelanggan sanggup datang ke Gombak bagi menikmati masakan yang saya hasilkan dan membuatkan saya berusaha membuka kembali perniagaan di Taman Lagenda 1, Melaka awal tahun ini,” katanya ketika ditemui di restorannya baru-baru ini.

Antara menu yang menjadi kegemaran pelanggan chicken garlic cream, lamb and potato, chicken parmesan, terayaki chicken with pasta, lamb shank dan double cheese burger.

Sajian chicken garlic cream digemari kerana mewah dengan rasa perapan 12 jenis rempah sebelum dipanggang sempurna dan dilengkapkan sos istimewa bawang putih serta kentang lenyek.

Sebanyak 12 jenis rempah digunakan untuk memerap ayam selama 24 jam antaranya jintan manis, ketumbar, lengkuas dan lada hitam.

“Keenakan sosnya terletak cara gorengan bawang putih. Makanan itu perlu digoreng menggunakan suhu yang betul dan memakan masa sehingga bertukar keperangan untuk mendapatkan kemanisannya,” katanya sambil memberitahu, hidangan lamb and potato menggunakan daging kambing yang diimport dari New Zealand kerana lebih lembut dan padat.

Selain sajian barat, Ibrahim turut menyediakan sajian Melaka iaitu asam pedas dengan pelbagai bahan masakan utama termasuk kupang, ikan pari, ikan salmon, daging dan udang.

Istimewanya asam pedas Leque adalah kuah yang disediakan tidak terlalu pekat mahupun cair dengan menggabungkan buah keras dalam masakan.

Dia mengambil masa empat tahun untuk menghasilkan resipi sajian-sajian signatur untuk memastikan rasanya setaraf hotel lima bintang dengan harga jauh lebih murah iaitu bermula RM7.90 sehingga RM36.90.

Restoran Leque yang dibuka enam hari seminggu kecuali Selasa dari pukul 1 petang sehingga 11 malam manakala tutup pada 12 tengah malam pada Sabtu dan Ahad.

Untuk maklumat lanjut boleh melayari Facebook www.facebook.com/lequeatmelaka atau membuat tempahan di talian 019-2138844 atau 012-6397936.

Restoran Leque

Lokasi : No.14, Jalan Lagenda 3, Taman Lagenda 1, Melaka

Waktu operasi : Dibuka enam hari seminggu bermula 1 petang sehingga 11 malam dari sehingga 12 tengah malam (Sabtu dan Ahad). Selasa tidak beroperasi.

Telefon : 019-2138844 atau 012-6397936.

Facebook : www.facebook.com/lequeatmelaka