Umpama perangkap maut, selain menjadi punca kemalangan dan kesesakan lalu lintas, keadaan jalan yang tidak diselenggara dengan baik itu juga mengakibatkan pelbagai kerosakan pada kenderaan.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Lembah Pantai di sini baru-baru ini mendapati semua jenis kerosakan jalan tersebut boleh ditemui dengan mudah di jalan-jalan utama dan lorong di kawasan perumahan di ibu kota.

Bahkan kawasan perumahan di sekitar Bangsar yang menjadi penempatan golongan ‘elit’ juga tidak terlepas daripada masalah yang sama.

Kerosakan yang berlaku di kebanyakan laluan utama itu secara tidak langsung mengundang persoalan orang ramai terhadap aspek pemantauan dan sejauh mana kesungguhan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyelesaikan masalah itu.

Justeru, orang ramai mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku PBT yang bertanggungjawab bertindak secara lebih efektif dalam menyelesaikan masalah yang tidak berkesudahan itu.