Melihat kepada peluang tersebut, Mohd. Nadzuan Nasir, 30, memberanikan diri membawa kelainan dalam bidang makanan dan minuman berbanding restoran lain dengan membuka Leezo Container di negeri Hang Tuah ini.

Bermula dengan sebuah kafe kecil di Batu Pahat, Johor pada 2015, anak muda kelahiran Melaka itu kini sudah menapak jauh malah boleh berbangga dengan adanya empat cawangan di Johor dan Melaka termasuk sebuah kilang pengeluaran produk sejuk beku.

Melaka merupakan cawangan terbaharu yang mula beroperasi pada April lalu terletak di Bandar Bukit Baru yang merupakan kawasan strategik kerana berhampiran dengan Terminal Melaka Sentral, Hospital Melaka dan Masjid Al-Azim (Masjid Negeri).

Bagaimanapun, hanya cawangan Leezo Melaka dan Parit Raja sahaja yang mengetengahkan konsep kontena memandangkan satu lagi cawangan terdahulu di Batu Pahat beroperasi di lot kedai biasa.

Namun begitu, kesemua makanan dan minuman yang disajikan kepada pelanggan adalah sama iaitu citarasa makanan barat, Itali dan masakan Malaysia yang pastinya mampu memenuhi kehendak serta selera pelanggan dari pelbagai peringkat.

Dibuka setiap hari dari pukul 5 petang hingga 1 pagi kecuali Isnin, pengunjung bebas memilih untuk makan di ruang terbuka tingkat bawah atau tingkat satu yang dibina menggunakan tiga kontena sebenar selain ruang di tingkat dua untuk majlis tertutup dengan kadar sewaan RM20 bagi tempoh tiga jam.

Menurut Mohd. Nadzuan atau lebih mesra dikenali sebagai Wan, restoran yang diusahakannya sendiri itu bermatlamat untuk memberi peluang kepada pelanggan merasa makanan barat dengan harga berpatutan.

"Kita memberi peluang pelanggan untuk memilih hidangan mengikut kemampuan mereka dan akan mencadangkan menu paling sesuai berdasarkan citarasa masing-masing.

"Harga ditawarkan jauh lebih murah jika dibandingkan dengan restoran atau kafe lain terutamanya restoran konsep kerana kita menggunakan bahan sejuk beku yang dihasilkan sendiri di kilang Leezo Production Centre, Batu Pahat termasuk daging burger, filet ayam, sos, pes dan lain-lain," jelasnya yang merupakan bekas penjawat awam.

Tambah Mohd. Nadzuan, terdapat lebih 30 menu makanan barat, Itali dan masakan tempatan yang disediakan kepada pelanggan dengan harga semurah RM5 hingga RM23.90 sahaja selain pelbagai jenis minuman serta pencuci mulut berharga kurang RM8.

"Antara menu utama yang perlu dicuba termasuklah Leezo Big Burger dengan gabungan daging, kambing, ayam serta sosej, Spaghetti Carbonara Meetball, Lamb Chop with Fried Rice dan Chicken Grill," ujarnya.

Info: Restoran Leezo Container

Lokasi: Lot 450/451 Bandar Bukit Baru, Seksyen 5, Melaka

Waktu operasi: Setiap hari kecuali Isnin (5 petang hingga 1 pagi)

Harga: makanan dari RM5 hingga RM23.90, minuman dari RM1 ke RM7.90

Facebook: Leezorestaurant & Leezocontainermelaka