Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihak­nya sudah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) bagi melaksanakan langkah berkenaan.

“Pada ketika ini, terdapat dua lagi projek mitigasi banjir sedang dilaksanakan dan ia dijangka siap menjelang 2018.

“Jadi, berlandaskan pengalaman banjir dua hari lalu, kita akan melihat semula apa lagi langkah yang boleh dilakukan termasuk cadangan untuk melebarkan dan mendalamkan sungai di Hulu Langat bagi menangani isu bencana itu,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Pelancaran Sistem E-Tanah di pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. Hamim Samuri.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, kelebaran dan kedalaman sungai di kawasan itu tidak dapat menampung kuantiti lebihan air sekali gus menyebabkan limpahan keluar itu menjejaskan kawasan perumahan tersebut.

“Ini juga berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab individu yang membuang sampah ke dalam sungai sehingga menyebabkan paras airnya meningkat.

“Jadi, apabila hujan lebat, sungai itu tidak mampu menampung jumlah kuantiti air dan menyebabkan ia melimpah keluar dan jejaskan kawasan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Sistem e-Tanah merupakan sistem elektronik yang dibangunkan secara bersepadu untuk mempercepat dan meningkatkan urusan-urusan pentadbiran tanah.

Kata beliau, inisiatif itu juga merupakan salah satu program ke arah merealisasikan kerajaan elek­tronik dalam usaha menambahbaik kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Kita mula melaksanakan Sistem e-Tanah ini di Pulau Pinang untuk mengambil alih sistem pentadbiran menerusi komputer dan selepas itu kita telah diperluaskan ke Melaka dan Negeri Sembilan.

“Hari ini, kita lancarkan pula di Wilayah Persekutuan dan diharap dapat dilaksanakan agar dapat menjadi sistem rasmi bagi kerajaan Pusat,” katanya.

Tambah beliau, sistem tersebut juga akan dilancarkan di lapan buah negeri lagi bermula di Se­langor.