Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr. Mohd. Ismail Abd. Aziz berkata, sebanyak 20 orang pensyarah dari kedua-dua institusi itu sudah menjalani latihan selama empat bulan dan diberi pendedahan kemahiran sains tahap tinggi.

“Selepas tamat latihan ini, mereka akan turun padang untuk mengajar dan menyediakan program bagi menaik taraf ilmu yang diperoleh kepada institusi masing-masing.

“Bilangan pensyarah yang akan mengikuti latihan ini akan terus ditambah dari semasa ke semasa kerana keperluan pakar data sains sentiasa meningkat dan mempunyai permintaan yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis penganugerahan Sijil Profesional Sains Data di sini, hari ini.

Yang hadir sama ialah Pengarah Institut Ibnu Sina, Profesor Dr. Abdul Rahim Mohd. Yusoff dan Pengarah Pusat Big Data Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr. Siti Mariyam Shamsuddin.

Mohd. Ismail berkata, latihan yang menyediakan lapan modul pembelajaran itu dikendalikan Pusat Big Data UTM iaitu pusat penyelidikan yang terawal di Malaysia dalam mengendalikan kursus Persijilan Profesional Sains Data dan Data Raya.

“Latihan ini memfokuskan kepada 85 peratus aktiviti praktikal melalui penggunaan data industri secara insentif selain membabitkan pelbagai industri.

“Selain itu, kita juga akan memastikan jumlah pensyarah yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan mencukupi di kedua-dua institusi berkenaan," katanya.

habis