Larian obor bermula di Johor pada 14 Mei lalu dan dijangka berakhir di Kuala Lumpur pada 19 Ogos, menandakan bermulanya temasya Sukan SEA Ke-29.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini menyertai Larian Obor KL2017 bersempena Sukan SEA Ke-29 dan Sukan Para ASEAN kesembilan dengan membawa obor berkenaan bermula dari Persiaran Menara Berkembar Petronas (KLCC) hingga ke Menara Naza diiringi lebih 200 pelari bagi memeriahkan larian itu.

Semalam, obor itu kemudian dibawa oleh Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dari Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bangsar menuju ke Parlimen Seputeh.

Sukan SEA Ke-29 akan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos ini, manakala edisi kesembilan Sukan Para ASEAN diadakan dari 17 hingga 23 September. - UTUSAN ONLINE