Keadaan jalan dua hala yang sempit itu dikatakan semakin sulit apabila turut dijadikan depoh operasi bas RapidKL yang terletak di Jalan Pantai Murni 7 di sini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati laluan yang terletak bersebelahan dengan Pangasapuri Inderaloka itu dipenuhi kereta lama ditinggalkan di hadapan deretan bengkel-bengkel kenderaan.

Sebahagian daripada dipercayai sudah lama rosak dan tidak dialih oleh pemilik bengkel kenderaan.

Keadaan diburukkan lagi dengan sikap penduduk dan orang ramai yang meletakkan kenderaan di bahru jalan tanpa rasa bersalah kepada pengguna lain.

Di jalan bersebelahan, laluan yang sedia sesak dengan kenderaan orang ramai yang mengambil anak di Sekolah Rendah Agama Al-Khawarizmi juga dikatakan turut mengalami nasib yang sama.

Sementara itu, pada waktu-waktu tertentu pula, laluan yang menjadi ‘pusat’ operasi bas RapidKL itu kerap terhenti apabila bas berkenaan melakukan pusingan U.

Peniaga, Mohd. Sirat Abdullah, 46, berkata, masalah sesak di kawasan itu semakin kritikal pada waktu puncak kerana turut menjadi lokasi penyimpanan bas RapidKL 821 dari Hab Pantai Murni.

Katanya, aduan mengenai perkara itu sudah banyak kali dilakukan oleh penduduk kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) namun sehingga hari ini masih belum diambil tindakan.

“Sepatutnya pihak berkuasa sudah lama bertindak terhadap pemilik atau pihak yang bertanggungjawab membiarkan kenderaan-kenderaan lama di bahu jalan.

“Penduduk di kawasan ini sebenarnya sudah lama ‘muak’ dengan sikap tidak bertanggungjawab itu. Kalau boleh minta DBKL ‘bersihkan’ segera,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.