Penduduk mendakwa, keadaan laluan pejalan kaki yang dipenuhi semak samun itu mengundang rasa tidak selamat kerana ia sudahpun menjadi sarang binatang berbisa seperti ular dan lipan selain kawasan pembiakan nyamuk.

Lebih memburukkan keadaan apabila kawasan tersebut turut menjadi lokasi jenayah se­perti ragut, rompak dan samun memandangkan kedudukannya yang terlindung serta jauh daripada penglihatan awam.

Tinjauan Utusan Malaysia di laluan sepanjang hampir 300 meter berkenaan mendapati, ke­a­daan di situ turut dicemari longgokan sampah-sarap dibuang pihak tidak bertanggungjawab.

Walaupun laluan bersebelahan kilang Hitachi itu dilengkapi lampu jalan, namun tidak semua berfungsi pada waktu malam sedangkan pencahayaan adalah aspek penting ke­selamatan.

Meskipun berdepan pelbagai risiko, kebanyakan pengguna terpaksa menggunakan laluan ber­kenaan kerana ia satu-satunya jalan singkat menghubungkan kawasan komersial Seksyen 16.

Berikutan permasalahan itu, penduduk setempat mendesak pihak bertanggungjawab menyelia dan me­nyelenggara kawasan tersebut dengan segera demi ke­selesaan, ke­selamatan dan kemudahan pengguna.

Selain itu, turut dibangkitkan penduduk adalah masalah pokok-pokok yang mempunyai dahan berat dengan dedaun rimbun di beberapa jalan utama seperti di Persiaran Bandar dan Persiaran Pusat Bandar 1, di sini.

Keadaan ini sudah pasti mendedahkan pengguna jalan raya kepada bahaya terutama ketika ribut apatah lagi dengan keadaan akar pokok tersebut yang menjalar keluar ke kawasan jalan raya.

Berdasarkan pemerhatian, ba­nyak dahan dan ranting pokok bersaiz sebesar lengan manusia ditemui di tepi jalan raya serta sekeliling pokok berkenaan.

Sehubungan itu, pihak yang dipertanggungjawabkan diminta segera menjalankan kerja mencantas dahan pokok bagi mengimbangi struktur pokok berkenaan selain menjadikan­nya lebih kemas, cantik dan tersusun.