Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Genting Group, Tan Sri Lim Kok Thay berkata, sambutan hari pengasas kumpulan perniagaan Genting diraikan pada 28 Februari setiap tahun untuk memperingati dan mengenang jasa Goh Tong.

“Walaupun sudah sepuluh tahun meninggalkan kami, legasi dan nilai-nilai murni yang diterap oleh beliau terbukti menjadi kunci kejayaan dan kemajuan Kumpulan Genting,” katanya ketika berucap dalam majlis makan sempena memperingati ulang tahun ke-100 dan 10 tahun pemergian Goh Tong.

Kok Thay berkata, Kumpulan Genting akan terus mengekalkan prinsip yang diterapkan oleh mendiang iaitu kerja keras, kejujuran, keharmonian, kesetiaan dan belas kasihan.

“Pengasas kami iaitu bapa saya adalah seorang usahawan yang berwawasan. Beliau juga seorang ahli perniagaan yang cerdas, pemimpin dan majikan yang bertanggungjawab,” katanya.

Tambah beliau, semangat dan komitmen bapanya membina pusat peranginan tanah tinggi mencapai kejayaan dan kini dikenali sebagai Resorts World Genting. - UTUSAN ONLINE