Aktivis jalan raya yang juga pengasas Ikatan Silaturrahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi berkata, kejadian tersebut perlu dijadikan pengajaran oleh pihak berkuasa tempatan itu bagi mengelakkan risiko kehilangan nyawa.

“Selain pembahagi jalan, cat berwarna biru di laluan basikal di laluan sama didapati licin dan berbahaya terutama ketika cuaca hujan.

“Daripada gambar kemalangan yang tular itu menunjukkan cat itu mengalir keluar sekali gus kualiti yang digunakan tidak memenuhi spesifikasi. Cat itu perlu selamat dan sepatutnya ditambah baik menggunakan tar berwarna,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kejadian di simpang Jalan Sultan Ismail berdekatan pusat beli-belah Maju Junction yang dimuat naik oleh pengguna Facebook, Alif Asyraffiq pada 2.30 petang semalam.

Posting dengan gambar seorang lelaki duduk berlunjur dengan kesan luka dan darah itu kemudian dikongsi sebanyak ratusan kali selain ribuan komen netizen.

Menurut Azlan Sani yang juga dikenali sebagai Lando berkata, beliau kurang bersetuju apabila orang ramai mendakwa pembayar cukai jalan perlu diutamakan dahulu, berbanding penunggang basikal yang tidak membayar cukai jalan.

“Sebelum kita menjadi penunggang motosikal dan memandu kereta, kita pernah menunggang basikal. Pengguna jalan raya adalah sama dan hak mereka tetap sama cuma pematuhan terhadap undang-undang dan bagaimana ia dikuat kuasakan itu lebih penting,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak DBKL kerana mengambil tindakan pantas membuka semula pemisah laluan basikal bagi memastikan kejadian sama tidak berulang. - UTUSAN ONLINE