Program anjuran Jabatan Penerangan yang melibatkan 56 destinasi seluruh negara itu bermula di Pulau Pinang pada 4 Ogos lalu.

Konvoi yang disertai kira-kira 137 peserta terdiri daripada empat agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan dengan menaiki 46 kenderaan termasuk motosikal berkuasa tinggi itu tiba di pekarangan Stadium Kajang kira-kira pukul 12.15 tengah hari.

Ketua Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang, Masnoor Ashaari berkata, konvoi itu bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat supaya mengibarkan Jalur Gemilang.

“Kita mahu setiap rakyat di negara ini mempunyai semangat patriotik dan cintakan negara. Pada masa sama ia bertujuan menarik golongan belia untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Persinggahan konvoi untuk makan tengah hari itu turut diraikan dengan mengedarkan bendera kepada orang ramai sebelum bergerak ke destinasi terakhir iaitu Putrajaya. - UTUSAN ONLINE