Malah keputusan itu juga bakal menyebabkan lebih 5,000 pekerja yang kebanyakannya terdiri daripada warga tempatan hilang pekerjaan dan sekali gus memberi kesan kepada punca pendapatan keluarga masing-masing.

Timbalan Pengerusi Gabu­ngan Bersatu Kontraktor G1 Putrajaya, Mohd. Najib Mohd. Ghazali berkata, kontraktor terbabit selama ini hanya bergantung penuh kepada kerja-kerja penyelenggaraan kuarters kerajaan sejak 2004.

“Jika kami tidak dapat lagi tender ini, macam mana hendak bayar gaji pekerja dan kos-kos lain seperti pinjaman bank dan kenderaan.

“Sedangkan ketika ini kami hanya peroleh keuntungan bersih RM3,000 untuk satu-satu tender, bayangkan jika tidak lagi langsung terima projek, sudah tentu kami perlu tutup perniagaan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohd. Najib berkata, kontraktor G1 atau sebelum ini dikenali Kelas F membantah keputusan kerajaan untuk melantik tiga syarikat kontraktor G7 (Kelas A) bagi menguruskan penyelenggaraan kuarters penjawat awam ini di sini.

Katanya, adalah tidak logik sekiranya hanya tiga syarikat diberikan kerja itu sedangkan terdapat lebih 22,000 buah kuarters penjawat awam di sini.

“Sekiranya tidak mampu me­nguruskan lagi kerja penye­lenggaraan, kami percaya syarikat besar itu kemudian akan ‘sub kontraktor’ kepada kontraktor kecil seperti kami.

“Walaupun ia dilihat kami diberi peluang, tetapi hakikatnya jumlah bayaran bakal mengecil kerana syarikat besar akan me­ngaut keuntungan terlebih dahulu,” katanya.

Gabungan Bersatu Kontraktor G1 Putrajaya baru-baru ini telah menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar kerajaan menyelamatkan nasib menimpa mereka ekoran keputusan itu.