Pengurus Besar Uber Malaysia (amp) Singapura, Warren Tseng berkata, kajian yang dijalankan Boston Consulting Group mendapati purata setiap penduduk Kuala Lumpur membelanjakan RM16,000 setahun untuk kos trafik dan letak kenderaan.

Menurutnya, kajian itu adalah sebahagian daripada perkhidmatan Kempen #UnlockingCities oleh Uber bagi mengetengahkan faedah perkongsian kenderaan di bandar-bandar di Asia yang pada masa sama membantu usaha penjimatan ruang dan wang.

“Hari ini terdapat lebih 5.8 juta kenderaan di Kuala Lumpur dan analisa dijalankan mendapati hanya 60 peratus daripada jumlah itu diperlukan di atas jalan raya. Keluasan kawasan letak kenderaan yang dapat dijimatkan bersamaan dengan 140 taman tasik.

“Uberpool yang dibangunkan Uber dapat memadankan beberapa penumpang dari lokasi dan destinasi serupa pada masa yang sama dengan satu pemandu uber, sekali gus menjadi alternatif pengangkutan awam yang dapat mengurangkan kesesakan secara drastik,” katanya kepada pemberita.

Kajian tersebut mendedahkan pemandu di Kuala Lumpur menghabiskan masa 20 hari setahun untuk mencari ruang meletak kereta dan tersekat dalam kesesakan trafik dengan sebanyak 74 peratus pengguna kenderaan turut merekodkan kelewatan dalam temu janji atau acara penting.

Kempen #UnlockingCities menerusi filem pendek 90 saat bertajuk ‘Boxes’ itu menumpukan kepada penyelesaian kepada masalah kesesakan, ruang letak kereta dan bagaimana penyelesaian inovatif seperti perkongsian kenderaan mampu menyerlahkan potensi sesebuah bandar raya.

Bagaimanapun, Tseng memaklumkan bahawa Uberpool tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat selagi penumpang dan pelanggan di negara ini belum membiasakan diri dengan perkongsian kenderaan yang kini berada di tahap empat peratus.

Tambahnya, jumlah perjalanan yang tinggi dan lebih banyak perkongsian kenderaan serta laluan baharu dibuka adalah faktor penting dalam membuka ‘lingkaran terkunci’ Kuala Lumpur. -UTUSAN ONLINE