Ketua Kombo DBKL Azman Shamsudin berkata, kumpulan pemuzik itu mendapat pujian kerana menampilkan persembahan berbeza berbanding kumpulan orkestra lain.

“Kumpulan kami bukan sahaja menumpukan kepada muzik pop atau lagu-lagu berunsur patriotik tetapi juga genre lain.

“Lebih istimewa kombo DBKL turut memiliki kumpulan koir sebagai pengiring bagi memantapkan persembahan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menceritakan lebih lanjut mengenai orkestra DBKL yang ditubuhkan sejak tahun 1988 itu, Azman berkata kumpulan itu telah menerima pelbagai pengiktirafan atas pencapaian dalam bidang muzik di peringkat dalam negeri mahupun antarabangsa.

Katanya, pada Ogos tahun lalu kumpulan orkestra itu dipecahkan kepada dua kumpulan kombo bagi memenuhi permintaan mereka yang berminat.

“Kombo DBKL mengadakan persembahan di mana-mana sahaja termasuk di kawasan-kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sehinggalah dalam apa juga majlis dan keraian,” jelasnya.

Dalam pada itu, Azman berkata, beliau yang dahulunya merupakan seorang penyanyi dan pemain muzik terkenal dari era zaman 1980 an berkata, bagi merancakkan aktiviti dan menghilangkan rasa rindu peminat okestra, kumpulan itu turut mengadakan persembahan secara percuma di Auditorium DBKL pada setiap bulan.