Kewujudan Parlimen hingga ke hari ini telah menyaksikan kehadiran silih berganti 44 tokoh yang terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Bagi mengenang jasa tokoh negara itu, satu pameran Koleksi Potret Parlimen Malaysia telah diadakan di Balai Seni Lukis Visual Negara (BSLVN) bermula April lalu sehingga September ini.

Menurut kurator Koleksi Potret Parlimen Malaysia, Muhammad Hazrin Abdul Malek, kesemua potret itu dihasilkan oleh pelukis tempatan berbakat besar dan terkenal seperti Jaafar Taib, Ahmad Nazri Abdullah, Johari Alias, Samjis Mat Jan dan sebagainya.

“Potret yang dihasilkan adalah sejak dari 1978 hingga 2013 mengikut zaman pemerintahan tokoh-tokoh itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut Muhammad Hazrin, setiap potret yang dilukis mengikut citarasa dan kreativiti pelukis terbabit.

“Orang ramai dijemput menyaksikan sendiri karya-karya pelukis terkenal tempatan yang mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri.

Katanya, koleksi potret itu juga berperanan sebagai representasi visual tokoh penting dalam perjalanan Parlimen Malaysia.