Presiden PAM, Ar. Ezumi Harzani berkata, festival yang diadakan secara serentak di beberapa lokasi di ibu negara itu akan berlangsung sehingga 3 September depan.

Menurutnya, selain di Publika, festival turut diadakan di Solaris Dutamas, Galeri Petronas di Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

“Festival bertemakan ‘Kuasa Seni Bina’ itu antara lain bertujuan bagi menyerlahkan kepen­tingan kreativiti dan inovasi dalam mewujudkan seni bina yang mampan.

“Penyertaan orang ramai juga turut dialu-alukan bagi menjayakan KLAF 2017,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran festival itu di sini.

Majlis perasmian disempurnakan Penaung Diraja KLAF 2017, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Inovasi Malaysia, Datuk Mark Rozario.

Sementara itu, Tengku Za­tashah pula berkata, KLAF 2017 merupakan platform bagi mempromosikan kreativiti dan seni reka bentuk terbaik seterusnya dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Bakat mereka yang menjadi pemangkin perubahan kepada industri seni bina di negara ini perlu diberi perhatian,” katanya.

Selain pameran, KLAF 2017 turut menyediakan beberapa program seperti persidangan, penerbitan, aktiviti awam, segmen pendidikan dan lain-lain lagi. - UTUSAN ONLINE