Edisi penganjuran buat kali ke-17 itu berlangsung di Menara Kuala Lumpur, di sini pada 29 September ini hingga 2 Oktober depan bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang (terjunan siang) dan 8 malam hingga 10 malam (terjunan malam).

Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL, Meor Shahril Anuar berkata, seramai 120 penerjun antarabangsa dari 23 negara akan mengambil bahagian de­ngan mempersembahkan aksi terjunan ekstrem yang pasti memukau pengunjung.

Katanya, para penerjun akan membuat terjunan dari kepala menara tujuh pada ketinggian 312 meter dari paras bumi sambil menunjukkan aksi yang jarang dilihat, sekali gus memberikan pengalaman berbeza dan mencabar.

“Untuk menambah keme­riahan acara tahunan ini, Menara KL ingin menawarkan pakej yang ditunggu-tunggu peminat iaitu sitting on the ledge yang membolehkan mereka menyaksikan secara dekat aksi terjunan dari tebing sky deck.

“Di samping itu, keseronokan diteruskan dengan aktiviti sampingan seperti bag jump dan flying fox selain dipertontonkan aksi terjunan yang paling mendapat perhatian iaitu terjunan kren,” katanya dalam sidang akhbar program berkenaan di sini.

Menurutnya, setiap pengunjung yang membeli pakej tersebut akan diberi masa selama 40 minit untuk menyaksikan acara penerjunan secara langsung de­ngan harga RM144 bagi pemegang MyKad dan RM177 tanpa MyKad.

“Harga tiket termasuk sitting on the ledge selama 40 minit di kedudukan 300 meter dari aras bumi, tiket ke pelantar pemandangan dan sky box, cenderahati eks­klusif, gambar 6R dan t-shirt edisi terhad,” katanya.

Acara tahunan itu dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Bomba dan Pe­nyalamat serta mendapat tajaan utama daripada Movie Animation Park Studio (MAPS).

Program yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records itu bertujuan menarik minat pelancong asing, sekali gus meletakkan negara di peta antarabangsa sebagai destinasi terbaik untuk aktiviti sukan pelancongan.