Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, pengiktirafan itu diberikan kepada bandar raya yang menunjukkan komitmen tinggi kepada aktiviti perbukuan, ke-susasteraan, kesenian dan gerakan membaca.

Jelasnya, menerusi slogan ‘KL Baca Menyantuni Masyarakat Melalui Pembacaan’, Kuala Lumpur akan menggerakkan gelombang pembacaan dan keprihatinan melalui pengupayaan buku bermula 23 April 2020 sehingga 22 April 2021.

“Pelbagai aktiviti akan dijalankan termasuk pembinaan perpustakaan terapung di pinggiran Sungai Gombak, pembinaan pusat membaca di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan pembinaan Lorong Buku.

“Aktiviti pembacaan dan pengupayaan buku turut tertumpu kepada golongan gelandangan, Orang Kurang Upaya, Orang Asli, anak yatim dan banduan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Watikah Pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai ibu kota buku dunia 2020 di Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut di sini hari ini.


Watikah pengiktirafan itu disampaikan oleh wakil UNESCO Ian Denison kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dengan disaksikan oleh Khalid.

Khalid berkata, sebanyak 19 buah bandar raya telah terpilih sejak tahun 2001 hingga 2019 iaitu bermula dengan Madrid, Sepanyol sehingga yang terbaharu, Bandar Raya Sharjah, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada tahun hadapan.

Tambahnya, pihaknya turut memperuntukkan sebanyak RM350,000 untuk membina sebuah Mini Terminal Sejahtera (Mints) di setiap 11 buah Parlimen di ibu negara.

“Pembukaan pusat yang dimulakan sejak 10 tahun lalu berfungsi sebagai perpustakaan mini kepada penghuni PPR untuk belajar dan mengulang kaji pelajaran,” katanya. - UTUSAN ONLINE