Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, usaha ber­kenaan merupakan inisiatif bagi menggalakkan pemasangan ben­dera kebangsaan di semua premis sekitar ibu kota.

“Saya agak terkilan apabila ma­syarakat hari ini kurang peka dan ‘liat’ untuk memasang bendera walaupun diberi secara percuma, seolah-olah tiada semangat patrio­tik dalam kalangan mereka.

“Di luar negara isu ini tidak pernah timbul malah mereka bersemangat dan tidak malu untuk memasang bendera negara di rumah atau premis masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran kempen kibar Jalur Gemilang peringkat DBKL 2017 di pekarangan Menara DBKL, di sini hari ini.

Tambah Mhd. Amin Nordin, DBKL memperuntukkan 55,000 unit Jalur Gemilang untuk diagihkan kepada agensi kerajaan, swasta, sekolah, persatuan dan orang ramai sempena sambutan kemerdekaan 31 Ogos ini.

“Edaran bendera pada tahun ini meningkat sebanyak 10 peratus berbanding tahun lalu dan diharapkan kali ini kualitinya lebih baik agar tidak mudah koyak mencacatkan pemanda­ngan sekitar.

“Bagaimanapun, saya ingatkan kepada semua pihak supaya me­ngambil inisiatif sendiri untuk me­masang bendera dan jangan me­ngharapkan pemberian secara percuma semata-mata,” ujarnya lagi.