Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, itu antara perancangan akan dibuat bagi menambah baik sistem pengangkutan awam di Putrajaya supaya pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu memiliki hab pengangkutan awam darat bersepadu pada masa akan datang.

Beliau yang juga anggota Parlimen Putrajaya berkata, perancangan itu akan turut mengambil kira cadangan untuk meningkatkan jumlah perkhidmatan bas ekspres dari seluruh semenanjung mahupun Singapura dan Thailand ke Putrajaya bagi menarik kemasukan pelawat daripada pelbagai destinasi.

“Selain itu cadangan mewujudkan perkhidmatan monorel dan trem di Putrajaya akan dikaji semula selepas ini supaya penduduk Putrajaya menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan. Ketika awal penubuhan Putrajaya, penduduknya hanya 15,000 namun kini sudah mencecah lebih 80,000.

“Oleh itu, beberapa perkara perlu dilihat semula untuk menambah baik sistem pengangkutan awam di Putrajaya,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian pengambilalihan saham syarikat Pengangkutan Awam Putrajaya Travel (amp) Tours (PAPTT) Sdn Bhd, di antara Putrajaya Leisures and Services (Pulse) Group Sdn Bhd dan Konsortium Bas Ekspres Semenanjung (M) (KBESM) Sdn Bhd.

Dalam perjanjian ditandatangani hari ini, KBESM yang merupakan anak syarikat GETS Global Berhad akan memiliki 79.99 peratus ekuiti dalam PAPTT.

Sebelum ini, kedua-dua pihak sudah menandatangani memorandum persefahaman pada Oktober lepas, dan GETS Global mengumumkan untuk memastikan 150 buah bas elektrik akan beroperasi di Putrajaya menjelang 2025 bagi menggantikan bas menggunakan gas asli (NGV) yang sedia ada.

Tengku Adnan ketika bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu berkata beliau ingin melihat penggunaan bas elektrik di Putrajaya dapat dilaksanakan lebih awal dari 2025.

Selain itu, perbincangan akan diadakan untuk memperkenal perkhidmatan bas percuma di Putrajaya sebagaimana perkhidmatan GOKL di Kuala Lumpur selepas ini, katanya. - BERNAMA