Hamdan Ahmad, 63, ba­gaimanapun terpaksa berteduh dengan menggunakan khemah kanvas berikutan sebahagian rumah kayu yang didiami sudah reput akibat dimakan anai-anai selain hampir 70 peratus atap zink kediaman tersebut sudah bocor dan rosak.

Menurut adik perempuannya, Faridah, 60, dia yang juga ibu tunggal tidak mampu untuk membaiki rumah pusaka ber­usia 70 tahun tersebut kerana tidak mempunyai pendapatan selain terpaksa bergantung kepada wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.

“Abang saya tidak mampu menguruskan diri sendirian apatah lagi untuk bekerja menyebabkan dia terpaksa tinggal dalam khemah kanvas ini hampir enam tahun lalu. Dia juga menerima bantuan bulanan JKM sebanyak RM300 untuk membeli makanan dan ubatnya.

“Kami tidak mempunyai wang untuk membaiki rumah pusaka ini kerana saya sendiri terpaksa bergantung de­ngan anak tunggal yang baharu saja bekerja sebagai pemandu lori dan pendapatannya juga tidak menentu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Korok, Alor Biak, di sini baru-baru ini.

Faridah berkata, dia yang tidak mempunyai pilihan terpaksa memasang khemah kanvas itu bagi membolehkan abangnya itu berlindung daripada hujan dan panas.

“Disebabkan tidak mampu membaiki rumah ini, saya hanya memasang khemah kanvas bagi membolehkan dia berteduh. Saya tidak membawa abang tinggal bersama kerana keadaan rumah saya yang sempit dan tidak mempunyai bilik tidur.

“Selain itu, sikap abang cepat marah dan agresif dengan saya mahupun anak lelaki saya membuatkan kami tidak mempunyai pilihan selain terpaksa membiarkan dia tinggal sendirian. Bagaimanapun, saya mahupun anak lelaki akan datang setiap hari untuk menguruskannya,” katanya.

Katanya, dia berharap ada pihak sudi membaiki rumah pusaka tersebut bagi membolehkan abangnya itu tinggal dalam keadaan lebih selesa.

Mereka yang ingin menghulur bantuan boleh meng­hubungi Faridah di talian 017-3454685.