Ketua Muzium Seni Kraf Orang Asli, Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Asmawi Mohd. Yunus berkata, pameran selama dua hari yang bermula hari ini memaparkan keunikan budaya, hasil kraftangan dan aktiviti masyarakat Orang Asli.

“Program ini bertujuan memberi pendedahan dan penyebaran maklumat kepada masyarakat di negara ini termasuk pelancong luar mengenai keunikan cara hidup Orang Asli dan warisan keseniannya.

“Kami menerima sambutan dan maklum balas yang baik daripada pengunjung dan jumlah kunjungan pada hari pertama sudah mencapai sasaran,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada program yang bermula pada pukul 10 pagi hingga 5 petang itu, pelbagai aktiviti dipamerkan antaranya persembahan kebudayaan, penghasilan dan jualan kraftangan, demonstrasi makanan tradisional dan aktiviti menyumpit. - UTUSAN ONLINE