Keunikan Melaka Encore yang mula beroperasi sejak 1 Julai lalu itu tidak hanya ditonjolkan melalui reka bentuk bangunan, tetapi juga persekitaran yang mempamer suasana berbeza dan tersendiri.

Terletak kurang lima kilo­meter dari bandar raya Melaka, bangunan ikonik ini boleh dikunjungi pada bila-bila masa pada se­belah siang atau malam.

Mungkin ramai sudah maklum mengenai persembahan teater yang dipersembahkan kepada pengunjung di dalam bangunan tersebut namun kali ini, penulis mahu berkongsi tentang keunikan bangunan itu sendiri sebagai lokasi merakamkan gambar yang menjadi ‘bualan’ hangat di media sosial.

Jika dilihat dari jarak dekat, bahagian luar bangunan itu kelihatan seperti bersisik namun ia sangat menarik pada waktu malam.

Dinding luar bangunan yang diperbuat daripada lampu diod pemancar cahaya (LED) dan jubin porselin memberi suasana berbeza.

Bangunan serba moden yang dibina oleh sebuah syarikat tempatan, Yong Tai Berhad itu bukan sahaja mengutamakan aspek kebersihan, tetapi juga keselamatan apabila setiap pergerakan pengunjung dipantau oleh gawal keselamatan bertugas.

Lokasi ini menjadi sesak pada hujung minggu apabila ramai pelancong dari dalam dan luar negara tidak mahu melepaskan peluang bergambar dengan bangunan putih tersebut. Selain individu dan mereka yang berkeluarga, lokasi tersebut turut menjadi pilihan jurugambar profesional bagi merakamkan momen indah pasangan pengantin.

Kemudahan yang disediakan seperti ruang parkir dan tandas awam percuma turut memberi kelebihan kepada destinasi tarikan baharu pelancongan di Me-laka itu untuk terus dikunjungi orang ramai.