Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar berkata, terdapat ramai dalam kalangan OKU yang mempunyai bakat dalam bidang lukisan tetapi tidak menonjolkan diri mereka kerana berasa rendah diri.

Sedangkan katanya, bakat semula jadi kurniaan Allah itu itu kadangkala mendapati golongan OKU ini mempunyai kelebihan termasuk mampu menghasilkan lukisan yang sangat indah sehingga boleh menandingi hasil karya pelukis-pelukis normal lain.

"Kita ucapkan tahniah kepada Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) kerana berjaya membawa masuk tiga pelukis dalam kalangan OKU untuk mengadakan pameran lukisan di sini dan kerajaan negeri sememangnya amat memberikan perhatian terhadap golongan ini kerana mereka dianggap sebagai insan istimewa.

"Perzim akan merekodkan jumlah kehadiran pengunjung pada pameran ini dan kita berharap lukisan-lukisan yang dipamerkan selama sebulan setengah di Balai Seni Lukis Melaka ini akan dibeli oleh pengunjung dan kita juga mahu Perzim mencari pelukis dalam kalangan OKU di negeri ini untuk mengadakan pameran seperti ini pada tahun hadapan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan pameran lukisan "Deaf Expression Melaka - Liberation Through Art' karya tiga pelukis cacat pendengaran iaitu Zulaiha Zulkapli, Lau Yok Ung dan Chong Kai Zhen di Balai Seni Lukis Melaka di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir pada program hasil kerjasama Perzim dan syarikat yang membantu golongan OKU cacat pendengaran, RC Deaf Missions Malaysia itu adalah Pengurus Besar Perzim, Datuk Khamis Abas dan Pengarah RC Deaf Missions Malaysia, Agnes Peter.

Pameran lukisan tersebut menghimpunkan sebanyak 70 hasil karya lukisan ketiga-tiga pelukis iaitu lukisan abstrak, pemandangan dan alam semula jadi berasaskan cat minyak serta seni guntingan kertas dan ianya akan dipamerkan di Balai Seni Lukis Melaka bermula semalam hingga 31 Disember ini mulai pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Sementara itu, Khamis berkata, pihaknya akan memulakan usaha mencari golongan pelukis di Melaka yang mempunyai bakat dalam lukisan untuk diketengahkan mulai tahun hadapan.

"Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pendidikan negeri untuk mengenal pasti mereka yang mempunyai bakat tetapi mungkin tidak mahu mengetengahkan diri melalui hasil-hasil karya mereka supaya sekurang-kurangnya penyertaan dalam pameran akan membantu menjana pendapatan mereka," katanya yang menyasarkan sejumlah 20,000 pengunjung sepanjang pameran tersebut bersempena cuti persekolahan hujung tahun tidak lama lagi.

Orang ramai yang berminat untuk melihat sendiri keindahan hasil karya ketiga-tiga penulis itu boleh datang ke Balai Seni Lukis Melaka di Jalan Bendahara di sini dan masuk adalah percuma. - UTUSAN ONLINE