Tinjauan Utusan Malaysia ke hospital itu baru-baru ini mendapati penempatan pesakit di wad-wad bangunan yang semakin dimamah usia itu sudah terlalu padat dan tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit.

Kesesakan dalam wad itu juga baru-baru ini menjadi tular dalam Twitter pengguna yang mendedahkan suasana sebenar ketika pesakit mendapat rawatan.

Keadaan sedemikian menimbulkan persoalan mengenai aspek ke­selamatan terutama jika berlaku kecemasan seperti kebakaran di blok wad yang sesak dan sempit ekoran penempatan katil-katil tambahan untuk menampung pesakit.

Suasana di wad lelaki pula seumpama berada dalam ‘zon perang’ apabila ada pesakit yang diletakkan di laluan pejalan kaki dan di tepi dinding wad termasuk di Jabatan Kecemasan dan klinik pakar.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan seharusnya mengawal jumlah kemasukan pesakit sehingga usaha naik taraf hospital itu selesai atau segera membina bangunan sementara bagi me­ningkatkan kapasiti ruang sedia ada.

Sekiranya melebihi kuota, terus sahaja hantar ke hospital berdekatan sama ada Hospital Serdang atau Hospital Putrajaya yang jauh lebih selesa dan boleh menampung jumlah pesakit lebih ramai.

Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad dalam lawatannya ke hospital berkenaan baru-baru ini memaklumkan penggunaan katil harian di hospital itu berada pada tahap yang tinggi sehingga mencapai 150 peratus sehari.

Perkara itu merupakan antara punca utama masalah kesesakan dalam wad.

Menurut beliau, perkara yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu itu disebabkan oleh pertambahan jumlah pesakit yang terlalu tinggi pada saban tahun namun pihak hospital tidak boleh menolak kemasukan pesakit walaupun sudah melebihi had sepatutnya.